Categories
NASIONAL

Bapa Altantuya dan Sirul akan kembali ke Malaysia

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Bapa warga Mongolia, Altantuya Shariibuu, yang mati dibunuh pada 2006 akan dibawa ke negara ini untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Peguamnya, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya kini sedang menguruskan perjalanan Shaariibuu Setev, ke negara ini.

Katanya, anak guamnya itu djangka tiba dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

“Keputusan Kerajaan Australia untuk mengekstradisi Sirul Azhar Umar (yang disabit kesalahan membunuh Altantuya) balik ke Malaysia adalah satu perkembangan yang positif dan baik.

“Ini untuk menegakkan keadilan terhadap Altantuya. Kepulangan Sirul ini adalah langkah pertama untuk tujuan siasatan semula diadakan.

“Isu ini perlu dibangkit atau didedahkan sekarang,” katanya kepada pemberita, di Pulau Pinang.

Pada masa sama, Ramkarpal berkata, pihaknya juga akan memohon satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat motif, di sebalik pembunuhan Altantuya.

Beliau berkata, pihaknya turut merayu supaya Peguam Negara, Tommy Thomas mempertimbangkan dengan serius supaya siasatan terhadap pembunuhan Altantuya dibuka semula.

Terdahulu, beberapa akhbar tempatan memetik sumber daripada The Guardian, sebuah akhbar harian Britain sebagai menyebut, pihak berkuasa Australia meluluskan permohonan Malaysia untuk mengekstradisi pesalah, Sirul Azhar dan dijangka pulang ke tanah air, dalam tempoh sebulan.