Categories
NASIONAL

Bawa kon keselamatan, cegah kemalangan

SHAH ALAM, 13 JUN: Pengguna jalan raya disaran membawa kon kecemasan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan ketika dalam perjalanan menuju ke destinasi masing-masing.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Noor berkata, penyediaan kon itu bagi membantu pengguna lain berwaspada jika berlaku kemalangan atau kerosakan kenderaan di bahu jalan raya.

“Kon amat penting berikutan ia akan memantul cahaya terutama pada waktu malam seterusnya membolehkan pengguna jalan raya lain peka dengan bahaya di hadapan.

“Perkara ini nampak mudah, jadi segelintir pengguna tidak mengambil berat mengenainya. Saya harap orang ramai dapat menyediakan kon sebagai satu peralatan wajib ada dalam kereta,” katanya lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian ketika majlis pelancaran Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Aidilfitri 2018, di Terminal Bas Sani Ekspress, Persiaran Klang, di sini, semalam.

Tambahnya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan pihak JKJR sebanyak 20,982 kes kemalangan jalan raya berlaku pada 2016 dan jumlah itu meningkat pada 2017 dengan 22,402.