Categories
NASIONAL

Bawa pemikiran dan idea lakukan perubahan

OLEH HAFIZAN TAIB

KAJANG, 24 JUN: Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PAKATAN) diketuai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, melaksanakan agenda perubahan dalam usaha mengatasi masalah hutang melebihi RM1 trilion dihadapi negara ketika ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, pendekatan diambil termasuk langkah berjimat cermat dalam pentadbiran adalah antara usaha dipraktikkan bagi menjayakannya seperti mana dimahukan rakyat.

“Saya memberi ingatan kepada diri sendiri dan rakan lain sama ada di peringkat Persekutuan mahupun Negeri bahawa rakyat kini melihat dan mahu perubahan juga perbezaan dilaksanakan berbanding kerajaan terdahulu.

“PAKATAN perlu melakukan agenda perubahan atau reformasi di semua peringkat untuk kita memulihkan dan mengatasi masalah dihadapi negara serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Hulu Langat di Kajang Perdana di sini, hari ini.

Beliau berkata, pimpinan PAKATAN diketuai Dr Mahathir juga tidak melakukan sebarang perubahan di pejabat Perdana Menteri dan Menteri ketika mengambilalih pentadbiran negara walaupun mempunyai peruntukan bagi tujuan itu.

Katanya, begitu juga pengangkutan termasuk kapal terbang digunakan menteri bagi menjalankan tugas di mana tiket dibeli secara dalam talian berbanding langkah kerajaan terdahulu melantik syarikat bagi mengendalikannya yang mengakibatkan perbelanjaan menjadi tinggi.

“Kita tidak perlu tukar sofa atau perabut di pejabat tetapi apa yang penting kita bawa pemikiran dan idea untuk melakukan perubahan

“Itulah cara kita menjimatkan dan menjadikan setiap sen duit rakyat dalam perbendaharaan kita gunakan sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam majlis itu, Salahuddin turut melancarkan Tabung Harapan Malaysia bagi kemudahan masyrakat tempatan menderma bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus; Ahli Dewan Negeri (ADN) Semenyih, Bakhtiar Mohd Nor, ADN Taman Templer, Mohd Sany Hamzan dan hadirin lain.