Categories
GLOBAL

Bilionair bioteknologi ambil alih operasi akhbar Los Angeles Times

LOS ANGELES, California 18 JUN: Bilionair bioteknologi, Dr. Patrick Soon-Shiong akan mengambil alih operasi akhbar Los Angeles Times dan San Diego Union-Tribune bermula hari ini.

Dua akhbar bersejarah Amerika yang berusia lebih 135 tahun itu menjadi sumber berita warga California Selatan selama lebih 135 tahun tetapi perlu berubah untuk menghadapi era digital.

Soon-Shiong membelanjakan AS$500 juta (RM1.9 bilion) bagi membeli organisasi berita berkenaan bersama akhbar bahasa Sepanyol, Hoy dan beberapa surat khabar komuniti lain daripada firma Tronc yang berpangkalan di Chicago.

Pembelian itu diumumkan pada 7 Februari lalu sekali gus menandakan Los Angeles Times kembali menjadi milik anak tempatan selepas 18 tahun di bawah penguasaan Chicago.

Perubahan pula akan segera dilakukan. Soon-Shiong yang akan menjawat jawatan pengerusi syarikat berita baharu dikenali sebagai California News Group itu akan memindahkan keba­yakan daripada 800 pekerja Los Angeles Times ke El Segundo menjelang akhir Julai ini.

Ibu pejabat akhbar berkenaan sejak tahun 1935 yang terletak di pusat bandar Los Angeles akan dikosongkan.

Soon-Shiong memilih untuk memindahkan operasi Los Angeles Times ke sebuah bangunan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles yang dibelinya tahun lalu.

Beliau dan isterinya, Michele B. Chan Soon-Shiong membelanjakan berjuta-juta dolar untuk membina bilik berita abad ke-21 yang menggalakkan kolaborasi.

Soon-Shiong, 65, yang dilahirkan di Afrika Selatan dan merupakan bekas doktor bedah di Universiti California, Los Angeles (UCLA), dianggarkan memiliki kekayaan berjumlah AS$7.5 bilion (RM29.9 bilion) oleh majalah Forbes dengan membina dan menjual dua syarikat biofarmaseutikal.

Beliau memiliki 4.5 peratus kepentingan dalam kelab bola keranjang profesional Amerika Syarikat (AS), The Lakers dan membeli enam hospital di California termasuk St. Vincent dan St. Francis pada tahun lalu.

Namun, pemilikan Los Angeles Times merupakan pelaburan paling berprofil tinggi yang dibuat olehnya.

“Ini merupakan cabaran paling sukar untuk dirinya. Media cetak kini nazak tetapi doktor sudah tiba,” kata juruperunding politik AS, Frank Luntz.

The Los Angeles Times pernah memiliki balai berita antara paling besar di dunia dengan lebih 1,200 pemberita dan lebih 25 biro asing di bandar-bandar jauh seperti Vienna, Nairobi, Seoul dan Saigon.

Akhbar itu kini menggaji kira-kira 400 wartawan dan mempunyai biro di Sacramento dan Washington selain segelintir koresponden di dalam dan luar AS.

Walaupun Soon-Shiong menyatakan bahawa The Los Angeles Times perlu berkembang secara digital, beliau tetap akan mengekalkan edisi cetak.

“Kita akan menjadi akhbar cetak terakhir sekiranya terpaksa,” katanya kepada kakita­ngan Los Angeles Times semasa pertemuan di dewan majlis perbandaran Los Angeles pada April lalu.

Perolehan iklan akhbar-akhbar di AS mencapai kemuncak pada 2005 berjumlah AS$50 bilion (RM199 bilion) tetapi menjunam kepada kurang AS$17 bilion (RM67.9 bilion) menjelang tahun lalu, demikian menurut firma perun­ding PwC.

Walaupun berdepan detik sukar, Los Angeles Times masih mampu meraih keuntungan.

Menurut firma pengukuran ComSore, edisi digital akhbar itu menjana kira-kira 33 juta tontonan sebulan, manakala akhbar cetaknya menerima 440,000 langganan pada setiap hari.

SUMBER: Agensi