Categories
EKONOMI NASIONAL

Blockchain mampu ubah mutu perkhidmatan kerajaan -PNMB

OLEH NADIAH ZAMLUS

PETALING JAYA, 27 JUN: Teknologi Blockchain dijangka mampu mengubah kualiti agensi kerajaan termasuk dari aspek perkhidmatan, ketelusan serta urus tadbir yang lebih baik.

Pengerusi Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB), Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, disebabkan itu pihaknya mengambil langkah awal dengan membangunkan Program Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) terhadap teknologi Blockchain.

Katanya, beberapa forum diwujudkan bagi membolehkan orang ramai memahami teknologi itu sealigus dapat mewujudkan peluang diantara sektor kerajaan dan swasta.

“Blockchain ini adalah teknologi baharu dan kerajaan kita sendiri pun menggalakkan orang ramai menerokanya kerana ia menyediakan pelbagai kebaikan, malah ianya semakin mendapat sambutan dan digunapakai pelbagai organisasi terkemuka antarabangsa.

“Namun ramai tidak tahu Blockchain sebenarnya adalah rekod atau lejar umum yang dikongsi oleh banyak pihak. Rekod itu hanya boleh diubah suai selepas mendapat persetujuan majoriti pihak terbabit dalam sistem ini, ia sekaligus menunjukkan sistem ini lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Forum ‘Adoption Blockchain in Industry and Higher Learning’ di Wisma PKNS pagi tadi.

Hadir sama Penasihat kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cybersecurity Malaysia, Dato’ Dr Amirudin Abd Wahab.

Abu Zahar berkata, masyarakat perlu prihatin dengan perkembangan teknologi terbaru seperti Blockchain bagi mengelakkan ketinggalan.

“Teknologi ini mula dihasilkan pada 2008 dan dilaksana pada 2009. Ia adalah revolusi teknologi yang mengutamakan ketelusan bagi setiap transaksi secara digital. Ia boleh digunakan dalam pelbagai aplikasi termasuk sistem pembayaran, mata wang digital, penemuan saintifik dan sistem undian.

“Forum yang diadakan pada hari ini juga bakal membuka mata pelbagai pihak terhadap pentingnya teknologi Blockchain kepada generasi akan datang,” katanya.