Categories
SELANGOR

Cita-cita Amirudin mahu jadi menteri terlaksana

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUN: Cita-cita Amirudin Shari untuk menjadi seorang menteri akhirnya terlaksana apabila beliau dipilih sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor baharu, kata bapanya, Shari Mokhsin.

Sejurus nama anaknya diumum, Shari berkata, beliau seakan bermimpi malah tidak menduga Amirudin terpilih menjawat jawatan besar.

“Pada mulanya saya memang tidak sangka Amirudin dilantik menjadi Dato’ Menteri Besar memandangkan calon lain juga tidak kurang hebatnya.

“Bagaimanapun, saya berharap beliau dapat menggalas tanggungjawab besar yang diberikan dengan amanah, dedikasi dan jujur,” katanya kepada SelangorKini.

Shari berkata, Amirudin juga pernah ditertawa rakannya semasa memberitahu cita-citanya mahu menjadi seorang menteri.

“Namun, gelakan rakannya itu akhirnya terjawab apabila beliau mampu melaksanakan impian menjadi seorang menteri,” katanya.

Selain itu, Shari berkata, sifat kepimpinan dalam diri Amirudin wujud sejak kecil memandangkan beliau anak kedua daripada enam beradik.

Pada masa sama, beliau turut berpesan kepada Amirudin supaya jangan sesekali salah menggunakan kuasa dan sentiasa positif dalam apa jua situasi dihadapi.

“Saya cuma mahu pesan kepada Amirudin apabila sudah masuk dalam dunia politik, biasalah jika ada orang suka atau tidak tetapi apa yang penting, kita kena selalu positif, sabar serta kuat menghadapi apa sahaja dugaan,” katanya.

Sementara itu, adik bongsu Amirudin, Afifudin Shari, 23 berkata, beliau menyokong perkara dilakukan abangnya.

“Saya berharap semoga abang (Amirudin) melakukan tugas lebih baik memandangkan jawatan dipegang kini bukanlah sesuatu yang kecil,” katanya.