Categories
SELANGOR

Daerah Petaling pamer pembangunan rancak sepanjang 2018

OLEH AFIX REDZUAN

SERI KEMBANGAN, 6 JUN: Daerah Petaling terus menyaksikan pembangunan rancak menerusi kelulusan 28 projek bagi 2018 dengan peruntukan RM2.45 juta.

Pegawai Daerahnya, Roslinah Md Jani berkata, 14 projek daripadanya sudah dilaksanakan dengan kos RM1.5 juta manakala bakinya akan disiapkan sehingga penghujung tahun ini.

“Projek pembangunan infrastruktur luar bandar bagi kampung-kampung tradisi di Daerah Petaling sentiasa dirancang dan dilaksanakan.

“Pembangunan berupa infrastruktur yang baik dengan visi Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembahkan ucapan bersempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Al-Quddus, Taman Pinggiran Putra semalam.

Katanya, kerja penyelenggaraan dan menaiktaraf sistem perparitan antara tumpuan diberikan kerana terdapat beberapa kawasan yang sering dilanda banjir kilat.

Antara kawasan itu adalah Kampung Melayu Subang, Padang Jawa, Kampung Kubu Gajah, Kampung Merbau Sempak dan Paya Jaras.

Menurutnya, Daerah Petaling juga berhadapan cabaran untuk mengurangkan penularan wabak denggi kerana mencatatkan rekod yang tinggi berbanding daerah lain.

Sebanyak 27 daripada 120 hotspot denggi merekodkan tiga kematian sehinga penghujung Mei lalu.