Categories
NASIONAL

Dr Maszlee sifatkan raya kali ini paling bersejarah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Sambutan hari raya aidilfitri kali ini disifatkan sebagai hari raya paling bersejarah buat rakyat negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, hal ini berikutan buat pertama kali rakyat meraikan sambutan kali ini bersama sebuah kerajaan baru yang jauh berbeza berbanding kerajaan lama.

“Rakyat melakar sejarah baru bina negara. Ini satu permulaan yang baik di mana hari raya kali ini adalah hari raya paling bersejarah dalam lipatan sejarah rakyat Malaysia dan akan dikenang pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Dr Maszlee berkata, kehadiran orang ramai daripada pelbagai latar belakang dan idealogi politik turut menunjukkan keharmonian rakyat hidup di bawah kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN).

Katanya, keadaan ini membakar lagi semangat PAKATAN untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Sementara itu, ketika mengulas rumah terbuka di parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, Maszlee berkata beliau akan menghadiri rumah terbuka Parlimen Simpang Renggam pada 23 Jun nanti.