Categories
SELANGOR

Dua kilang berdepan tindakan saman, sita

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LANGAT, 21 JUN: Dua kilang disyaki terbabit pencemaran bahan kimia di Jalan Kling Batu 15, di sini bakal berdepan tindakan saman dan sita oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna dan Hal Ehwal Bukan Islam, Hee Loy Sian berkata, Skuad Unit Pengurusan Bencana Negeri yang membuat pemantauan darat dan udara mendapati, pencemaran itu datang daripada kawasan perindustrian terbabit.

“Unit ini membuat pemantauan sekitar kawasan kilang dan pembuangan minyak mendapati terdapat dua penyewa iaitu penyewa kilang plastik dan kilang minyak hitam.

“JAS memaklumkan akan membuat tindakan saman pencemaran alam sekitar kepada penyewa kilang.

“Manakala, MDKL membawa kes pembuangan minyak itu ke bahagian perlesenan MDKL untuk membuat proses menyita kilang,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian berkata, penyewa kilang itu akan dikenakan tindakan kompaun MDKL kerana didakwa melakukan pencemaran pembuangan minyak dapat dikesan di paip bawah tanah dari dalam kilang (inlet) dan dibuang ke anak sungai (outlet) berdekatan.

“Buat masa ini, MDKL sudah pun menutup kawasan kilang dengan barricade tape.

“Kita juga mendapati jarak kawasan kilang dan kawasan Sungai Langat adalah dianggarkan 200 meter serta jarak pencemaran ke kawasan rumah dianggarkan 100 meter,” katanya.

Terdahulu, Loy Sian menasihati orang ramai khususnya kawasan berhampiran supaya berwaspada akan pencemaran itu.

Katanya, orang ramai turut disarankan berkerjasama dan melaporkan kepada JAS sekiranya mempunyai maklumat berkenaan perkara itu.

Semalam, penduduk di sekitar kawasan perindustrian di Jalan Kling Batu 15, di sini cemas apabila terhidu bau bahan kimia di kawasan itu.

Pasukan bomba bergegas ke kawasan berkenaan dan mendapati cecair ammonia dilepaskan ke dalam parit berhampiran sebuah kilang.

Hasil siasatan, terdapat sebuah kilang dipercayai mengumpul minyak hitam melepaskan cecair berkenaan yang digunakan untuk mencuci peralatan.