Categories
SELANGOR

Exco: SSP di semua PBT hujung tahun ini

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 28 JUN: Sistem Smart Selangor Parking (SSP) dijangka beroperasi sepenuhnya di semua 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri, hujung tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kesediaan lima PBT dalam melaksanakan SSP Fasa 1 menjelang 1 Julai ini.

“Saya dimaklumkan, kutipan parkir meningkat di PBT yang sudah menggunakan aplikasi SSP.

“Ini membuktikan SSP memudahkan pengguna membuat bayaran kerana ia menyatukan kaedah pembayaran menerusi satu aplikasi dalam talian.

“Bayangkan jika setiap PBT menggunakan aplikasi berbeza dan ini bermakna pengguna perlu memuat turun 12 aplikasi berbeza,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran SSP Fasa 1, di Hotel Holiday Inn, Seksyen U1, Glenmarie, di sini, semalam.

Majlis turut dihadiri Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah.

SSP yang dibangunkan SSDU menerusi SSDU Innovations Sdn Bhd adalah sistem pembayaran parkir dan kompaun berintegrasi dalam talian menerusi aplikasi telefon pintar yang juga saluran tambahan kepada penggunaan kupon parkir serta pembayaran kompaun parkir, di seluruh Selangor.

Bagi Fasa 1, SSP mula dilaksanakan di parkir ‘on-street’ di Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kajang dan Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam pada itu, Sze Han turut menzahirkan ucapan tahniah atas komitmen SSDU membangunkan SSP dengan model pembangunan ‘kos sifar’ kepada PBT.

“SSDU berjaya merangka dan mengamalkan budaya kerja baru menerusi pendekatan ‘Smart Cooperation and collaboration’, sekali gus berjaya membangunkan SSP dalam tempoh amat singkat dengan mengambil kira perincian penguat kuasaan undang-undang kecil berkait di setiap PBT.

“Justeru, semua pihak diharap memberi dukungan berterusan untuk bersama menjadikan Selangor sebagai Smart State di rantau Asia menjelang 2025,” katanya.