Categories
NASIONAL

Filem pendek TPM, Anwar singkap perjuangan Malaysia Baru

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 JUN: Biarpun kemenangan sudah diraih, namun semangat dan perjuangan membawa perubahan Malaysia Baru tetap menjadi keutamaan bagi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Iltizam itu dizahirkan Wan Azizah dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sebuah filem pendek Aidilfitri lakonan kedua-dua pimpinan itu.

Video dengan judul ‘Demi Harapan Rakyat, Perjuangan Diteruskan’ berdurasi 2 minit 45 saat itu berkisarkan semangat Wan Azizah sekeluarga untuk terus mengangkat martabat Malaysia Baru.

“Dah menang, sekarang lebih sukar. Kita mesti lakukan semua janji-janji. Kita mahu mengisi kemenangan dan dengan sokongan rakyat itu, kita boleh lakukannya,” kata Wan Azizah dalam bingkisan filem pendek itu.

Sehingga laporan ini ditulis, video berkenaan sudah ditonton lebih 64,000 tontonan di Facebook, hanya selepas kurang satu jam ia dikongsikan di laman sosial rasmi Dr Wan Azizah.

Bagi Anwar pula, kemenangan itu seiring pengharapan rakyat Malaysia yang mahukan sebuah negara maju diwujudkan tanpa pelaksanaan dasar membebankan diwujudkan Kerajaan Pemerintah.

“Sekarang kita kena terus kerja, rakyat sudah tunggu. Kalau kita tidak laksanakan, dukungan rakyat itu sia-sia.

“Kalau kita fikir keselesaan kita, kita sama macam rejim lama.

“Matlamatnya adalah meringankan beban rakyat, dan menjadikan demokrasi itu bermakna bagi memberi keselesaan kepada rakyat,” katanya.

Ini adalah sambutan perayaan Syawal pertama Anwar selepas diberi pengampunan diraja, daripada sabitan Fitnah II terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan itu.