Categories
SELANGOR

Galak bayar zakat fitrah ikut beras dimakan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Umat Islam di Selangor digalakkan mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras yang dimakan walaupun kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7.

Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, mengeluarkan zakat fitrah mengikut beras yang dimakan adalah bertepatan dengan kehendak hadis.

“Dalil ini disebut di dalam hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari, Abu Said al-Khudri seorang sahabat nabi telah berkata bahawa mereka mengeluarkan zakat fitrah sebanyak satu sha’ makanan, mengikut apa yang mereka makan.

“Mengikut pandangan ulama, wajib zakat fitrah adalah mengikut apa yang menjadi kelaziman seseorang itu makan.

“Sebagai contoh, bagi mereka yang biasa membeli beras RM2.60 sekilogram, kadar zakat dibayar ialah RM7, manakala mereka yang makan beras Gred Super berharga RM8 sekilogram, kadar zakat adalah RM20.80,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, Tamyes berkata, menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras yang biasa dimakan bukanlah perkara baru kerana ia telah dibuat oleh pengeluar zakat yang berkemampuan.

“Kewajipan zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan dan menguji keimanan. Andai kita menjadi pemurah bermakna kita berjaya mengikis penyakit bakhil.

“Sehubungan itu, bagi membantu umat Islam mengeluarkan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melantik seramai 2,760 penolong amil fitrah,” katanya.