Categories
GLOBAL

Gempa bumi 5.3 landa Osaka

TOKYO 18 JUN: Satu gempa bumi kuat melanda Jepun awal pagi tadi, namun tiada sebarang laporan terkini diterima berhubung kesan kerosakan atau amaran tsunami.

Menurut Jabatan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi berukuran 5.3 itu berlaku pada kedalaman 15.4 kilometer pada jam 7.58 pagi berhampiran Osaka.

Agensi meteorologi Jepun pula memberitahu, tiada risiko tsunami dicatatkan setakat ini.

Perdana Menteri Shinzo Abe memberitahu wartawan, kerajaan sedang mengambil segala tindakan yang perlu dan keutamaan diberikan kepada usaha menyelamatkan nyawa penduduk.

Beliau berkata, semua petugas telah diberi arahan untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung kerosakan dan menumpukan kepada usaha menyelamatkan nyawa, selain membekalkan maklumat lengkap, tepat dan pantas bagi disebarkan kepada orang ramai.

Sementara itu polis tempatan memberitahu, mereka belum menerima sebarang laporan kerosakan manakala Lembaga Peraturan Nuklear pula berkata, tiada sebarang perkara tidak normal dikesan selepas gempa terbabit.

Gegaran berkenaan menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan ribuan kediaman serta operasi perkhidmatan kereta api yang tergendala selama beberapa jam.

Turut dilaporkan ialah kebakaran membabitkan sebuah rumah di bandar Osaka selepas gempa bumi itu berlaku.

SUMBER: AFP