Categories
GLOBAL

Gencatan senjata Afghanistan dilanjut

OLEH SHEEDA FATHIL

JALALABAD, 17 JUN: Kerajaan Afghanistan melanjutkan gencatan senjata dengan militan Taliban ekoran pengeboman nekad yang meragut 25 nyawa.

Justeru, kejadian itu mencemarkan perayaan Aidilfitri yang sepatutnya menjadi meriah antara militan dan anggota tentera saling berpelukan bagi meraikan perjanjian tidak pernah dibuat sebelum ini.

Presiden Ashraf Ghani membuat pengumuman itu menerusi ucapan di televisyen yang turut meminta Taliban melanjutkan gencatan selama tiga hari itu, yang dijangka berakhir malam ini.

Bagaimanapun, setakat ini, militan belum memberi sebarang reaksi.

“Saya mengarahkan pasukan keselamatan untuk kekal pada kedudukan bertahan,” katanya.

Gencatan senjata itu dijangka berakhir Selasa ini.

Kenyataan Ghani dibuat pada hari kedua sambutan Aidilfitri.

Ia ditunjukkan dengan keadaan mengagumkan dengan militan Taliban memeluk, malah solat bersama pasukan keselamatan, ahli politik dan penduduk awam di seluruh negara itu, dalam luahan emosi besar-besaran berhubung gencatan senjata pertama negara itu sejak pencerobohan Amerika Syarikat, pada 2001.

Serangan semalam ke atas orang ramai yang meraikan gencatan senjata di daerah Rodat, di wilayah Nangarhar, adalah keganasan besar pertama sejak awal Aidilfitri.

Jurucakap wilayah, Attaullah Khogyani berkata, tiada pihak mendakwa bertanggungjawab di atas serangan itu, yang mengorbankan 25 orang dan mencederakan 54 lagi. – AFP