Categories
NASIONAL

Gobind arah siasatan terhadap Projek ADAX

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengarahkan siasatan penuh dijalankan terhadap Projek Bursa Data Analitik ASEAN (ADAX) yang dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan dan aduan berhubung projek itu yang dikatakan bertujuan membangunkan ekosistem serta mewujudkan suatu kelompok bakat penting dalam kategori Analitik Data Raya.

“Antara perkara yang dipersoalkan berkaitan sama ada wujud ataupun tidak percanggahan kepentingan antara pengurus program berkenaan dengan penyedia latihan.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan supaya siasatan penuh dilakukan ekoran kebimbangan yang disuarakan berhubung projek ini, dan MDEC sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini. ” katanya.

Gobind berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa MDEC telah memohon bantuan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit tentang projek itu.

“Laporan lengkap tentang projek berkenaan dijangka dikemukakan kepada saya dalam tempoh terdekat.

“Buat masa sekarang tiada sangkaan dibuat bahawa sesiapa telah melakukan sebarang salah laku ataupun kesalahan didalam perkara ini.

Padam masa sama, Gobind menegaskan sekiranya siasatan menunjukkan bahawa wujud salah laku atau kekurangan, maka tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang berkaitan.

“Saya akan memastikan wujudnya ketelusan dan integriti dalam urusan semua jabatan serta agensi di bawah bidang kuasa kementerian saya,” katanya.