Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Guna aplikasi internet didik murid dalami pendidikan Islam

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN: Guru era milenia kini perlu menggunakan kemudahan teknologi bagi memudahkan anak murid memahami subjek pendidikan Islam dengan lebih mudah.

Exco Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berkata, guru perlu mengambil peluang tersedia di internet seperti Youtube, aplikasi al-Quran, Hadith dan doa.

“Setiap aplikasi ini boleh digunakan dalam sesi pembelajaran, sudah tentu akan menarik minat pelajar dalam menghayati ajaran Islam.

“Kita tidak mahu mereka dipengaruhi oleh perkara yang sia-sia. Pendidikan Islam boleh dianggap sebagai dinding utuh menapis sebarang unsur tidak baik dalam diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan Majlis Anugerah Kualiti Pendidikan Islam (AKPI) anjuran Jabatan Pendidikan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, semalam.

Shaharuddin berkata, anugerah berkenaan adalah penghargaaan kepada mereka yang menunjukkan prestasi tinggi dan amat membanggakan.

“Penghargaan ini juga diharapkan dapat mewujudkan semangat jitu bagi meningkatkan kualiti di samping mendorong rakan seperjuangan yang lain untuk sama-sama bersaing dalam mencapai misi dan visi yang sama.

“Ini adalah sejajar dengan usaha membina modal insan berkualiti yang memiliki jati diri cemerlang dalam mendepani arus pemodenan dalam era globalisasi masa kini,” katanya.