Categories
EKONOMI NASIONAL

Harga petrol kekal minggu ini

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 JUN: Kerajaan mengumumkan harga minyak petrol kekal minggu ini dengan jualan runcit bagi RON95 dan diesel dikekalkan pada harga RM2.20 seliter serta RM2.18 seliter.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, harga RON97 akan mula diapungkan secara managed float pada harga RM2.66 seliter sehingga 13 Jun ini dan akan diselaras setiap minggu.

Katanya, berdasarkan harga purata mingguan minyak mentah dunia, ia mencecah USD76 setong dan harga produk produk petrol dan diesel yang ditapis antara USD87 hingga USD88 setong.

“Disebabkan itu, kerajaan menanggung subsidi sebanyak 33 sen seliter bagi produk RON95 dan diesel.

“Ini bermakna, tanpa subsidi minyak yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan PRU14, harga RON95 dan diesel akan meningkat kepada RM2.53 dan RM2.51 masing-masing seliter.

“Kerajaan juga memperuntukkan RM3 billion sehingga hujung 2018 untuk menanggung subsidi pengekalan harga runcit petrol dan diesel,” katanya.