Categories
NASIONAL

Hari terbuka TUDM sempena ulangtahun ke-60

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menganjurkan jelajah hari terbuka di pangkalan udara miliknya, sempena Hari TUDM Ke-60.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, objektif jelajah itu adalah untuk berkongsi maklumat dengan lebih dekat kepada masyarakat berhubung peranan TUDM.

“Kita akan berkongsi pengetahuan berhubung aset yang kita ada dan apa yang sudah kita belanjakan. Kita nak mereka faham supaya sentiasa bersama dan memahani tugas TUDM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, pada 30 Mei lalu.

Antara acara yang akan disajikan termasuk pertunjukan udara dan ‘static display’ serta terbitan majalah khas penerangan makluman berhubung program istimewa TUDM.

Bagi sambutan tahun ini, TUDM mengangkat slogan ‘Kuasa Udara Tonggak Kedaulatan Negara’.

“Dengan kelebihan pada kuasa udara akan memberikan kita satu lonjakan atau kelebihan dalam perkara seperti keupayaan membawa pertempuran, di luar wilayah kita.

“Kita juga ingin memberikan pemahaman dengan adanya kuasa udara perbelanjaan udara tidak semestinya tinggi.

“Yang penting adalah perancangan dan pelaksanaannya terutama dalam soal penyelenggaraan serta latihan.

“Perkara itu perlu disatukan supaya kita dapat impak maksima menerusi sistem serta sumber manusia yang baik,” katanya.