Categories
SELANGOR

India, Cina turut sertai tradisi kacau dodol

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 9 JUN: Dodol yang juga merupakan juadah tradisi masyarakat Melayu sejak turun temurun kini semakin mendapat tempat masyarakat kaum lain.

Ia dapat dilihat apabila kaum Cina dan India turut sama melibatkan diri dalam Pertandingan Kacau Dodol Pemuda Pakatan Harapan (PAKATAN) peringkat Parlimen Kapar di Kompleks Rakan Muda, di sini, semalam.

Aik Sing Hooi, 50, berkata, beliau belum pernah membuat dodol, namun apabila mengetahui pertandingan itu akan diadakan membuatkan dirinya berasa teruja dan tidak sabar menyertainya.

“Saya memang ternanti-nanti acara sebegini diadakan kerana mahu merasai sendiri pengalaman mengacau dodol selain bergaul bersama masyarakat Melayu sambil mengetahui cara memasak juadah ini.

“Saya akui agak letih namun, perasaan amat gembira serta berharap ia akan diteruskan pada masa akan datang juga tidak hanya terhad kepada masyarakat Melayu sahaja,” katanya sambil berharap tiada lagi sifat perkauman sesama masyarakat walaupun berbeza agama.

Sing Hooi yang juga merupakan salah seorang peserta pertandingan itu mengakui bahawa dodol merupakan salah satu makanan tradisi Melayu kegemaran beliau selain kuih bahulu dan ketupat.

Manakala, P Krishnaveni, 30, berkata, perasaan pertama kali mengikuti pertandingan kacau dodol itu merupakan cabaran yang amat sukar buat dirinya.

“Ini kali pertama saya melihat cara memasak dodol dan ternyata ia bukan sesuatu yang mudah kerana bahang panas api selain kesukaran mengacau apabila dodol semakin likat.

“Saya berasa gembira kerana diberi peluang merasai sendiri pengalaman mengacau dodol kerana sebelum ini hanya dapat melihat acara sebegini di kaca televisyen sahaja,” katanya.

Sementara itu, Norhayati Shaari, 40, berkata, beliau memuji insiatif dilakukan Pemuda PAKATAN yang tidak meminggirkan masyarakat kaum lain untuk turut serta dalam pertandingan itu.

“Memang ini merupakan makanan tradisi masyarakat Melayu namun bagi saya tidak salah sekiranya kaum lain sertai dan merasai sendiri pengalaman mengacau dodol seperti kita sedia maklum ia seringkali dipelopori oleh kaum Melayu sahaja,” katanya.

Terdahulu, pertandingan kacau dodol itu dirasmikan oleh Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu serta Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi.

Pertandingan bermula jam 10 malam itu berakhir pada 3 pagi dengan disertai 100 peserta membabitkan 20 pasukan yang terdiri dari penduduk kampung pelbagai bangsa di sekitar Parlimen Kapar.

Juara pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM500 serta hamper; tempat kedua RM300 dan hamper; tempat ketiga juga keempat masing-masing membawa pulang RM150 beserta hamper manakala tempat kelima hingga kesepuluh menerima hamper sebagai saguhati.