Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Kemasukan pelajar UNISEL kali ini luar biasa

OLEH SHEEDA FATHIL

BESTARI JAYA, 30 JUN: Kemasukan pelajar ke Universiti Selangor (UNISEL) bagi pengambilan Jun 2018 kali ini lebih ramai daripada biasa, kata Pengarah Komunikasi Korporat, Hasril Abu Hassan.

Hasril berkata, jika sebelum ini tidak sampai 1,000 orang mendaftar diri ke UNISEL setiap kali sesi pengambilan namun hari ini sahaja ia sudah mencecah hampir 1,100 pelajar.

“Namun, jumlah itu belum termasuk mereka yang akan datang mendaftarkan diri secara ‘walk-in’ dan tambahan hari yang akan dilakukan oleh pihak kami nanti.

“Dengan tambahan hari yang akan kita dilaksanakan nanti berkemungkinan bilangan pelajar hadir mendaftarkan diri semakin bertambah,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas mengenai faktor hari terbuka menjadi bilangan pelajar semakin bertambah, Hasril berkata, ia mungkin kerana keadaan Malaysia baharu juga.

“Bagaimanapun, Malaysia baharu juga menjadi salah satu faktor UNISEL mendapat tempat di hati masyarakat untuk mendaftarkan diri mereka melanjutkan pengajian di sini,” katanya.

Hasril berkata, beliau akui dengan keadaan Malaysia baharu, UNISEL semakin melonjak dengan sifat keterbukaan pihak luar yang semakin menerima institusi berkenaan.

Selain itu, katanya, fasiliti dan persekitaran UNISEL juga menjadi salah satu faktor ia mendapat tempat dalam kalangan masyarakat di serata negeri dan negara.

“Sambutan daripada pelajar luar negara turut memberangsangkan, secara keseluruhannya UNISEL sudah menerima lebih kurang 400 pelajar dari pelbagai negara,” katanya.

Terdahulu, UNISEL turut menerima pendaftaran pelajar luar negara seperti Oman, Somalia, Afrika Selatan, Zambia, Indonesia, Bangladesh, Sudan serta beberapa negara lain.

Mereka yang berminat menyambung pengajian di UNISEL boleh mendaftar kemasukan yang dilanjutkan, sehingga 13 Julai ini.

Pendaftaran menerusi laman sesawang boleh dilakukan di www.unisel.edu.my atau hubungi terus pejabat Pemasaran dan Kemasukan di talian 03-55223400 atau 012-3401740 atau 011-33907681.