Categories
NASIONAL

Ketirisan dana Finas: KKMM tidak akan berkompromi

OLEH SYAZWAN SUFIAN

SHAH ALAM, 20 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana pihak terlibat melakukan ketirisan dalam peruntukan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, KKMM tidak akan berkompromi dalam apa jua perkara melibatkan elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam agensi mahupun jabatan di bawah bidang kuasa kementerian tersebut.

“Perkara melibatkan elemen rasuah, ketirisan ataupun salahguna kuasa di dalam industri kreatif negara kita, sekiranya ada, boleh melemahkan persaingan sihat yang perlu bagi mengembangkan industri ini dan boleh melumpuhkan perkembangan industri ini secara keseluruhan.

“Jadi, sekiranya siasatan menunjukkan wujudnya sebarang elemen ini, maka tindakan tegas perlu diambil secara undang-undang ataupun secara dalaman bagi menangani perkara ini serta-merta,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, baru-baru ini pihaknya dimaklumkan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di ibu pejabat Finas bagi menjalankan siasatan berhubung peruntukan untuk 2017, pada 7 Jun lalu.

“SPRM sahkan bahawa siasatan sedang dijalankan dan mereka harus diberi ruang sepenuhnya menjalankan siasatan selain pihak berkaitan perlu memberi kerjasama bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Saya harap siasatan ini juga akan melihat secara mendalam kepada aturcara dalam mana peruntukan Finas digunakan dalam masa lalu,” katanya.

Pada masa sama, Gobind berkata KKMM mengalu-alukan sebarang cadangan bagi memperkukuhkan kementerian itu.