Categories
EKONOMI NASIONAL

Keyakinan pelabur akan pulih – Mohamed Azmin

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan optimis keyakinan pelabur akan pulih, seterusnya menghentikan jualan asing yang berterusan di Bursa Malaysia.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau yakin inisiatif diambil pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) akan membuahkan hasil positif sebaik sahaja pasaran stabil.

“Ia akan mengambil sedikit masa bagi kita untuk memulihkan keyakinan tetapi sudah tentu dengan inisiatif baharu yang dimulakan kerajaan.

“Saya percaya kita akan dapat meyakinkan pelabur, bukan sahaja untuk mengekalkan pelaburan di Malaysia tetapi menarik lebih ramai pelabur datang ke negara ini,” katanya dipetik Bernama.

Beliau turut menegaskan pelaburan langsung asing (FDI) adalah antara keutamaannya selain kesejahteraan sosial rakyat.

Katanya, FDI penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi rakyat dan mewujudkan nilai kepada pemain tempatan yang akan ditangani dalam tempoh beberapa bulan.

“Bagaimanapun, kerajaan akan mengambil pendekatan lebih memilih dan menumpukan kepada pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan modal berbanding pelaburan berintensifkan buruh,” katanya.