Categories
SASTERA

Khalil: Elit dalam lukisan ‘kampungan’

Oleh Abdullah Jones

Cerita legenda yang kami dengar lama dulu, beliau melukis di pasar malam. Pada suatu hari, pasar malam itu dilawati seorang sultan. Setelah melihat hasil kerjanya, sultan berkenan untuk membiayai persekolahannya, lalu beliau dihantar ke luar negara bagi mempelajari seni lukis dengan lebih serius.

Kami bercerita fasal Khalil Ibrahim, maestro seni lukis negara yang tidak berapa lama meninggalkan kita pada 15 Mei lalu. Kami yakin tidak ramai yang di luar lingkungan seni catan tahu akan kewujudannya, apatah lagi pemergian beliau baru-baru ini.

Cerita legenda yang kami dengar tadi sebenarnya tidak ada bukti nyata. Ia diceritakan kepada kami oleh seorang seniman seangkatan Khalil.

Khalil dilahirkan di Kelantan dan mendapat biasiswa dari kerajaan Pahang untuk melanjutkan pelajaran ke Sekolah Seni St. Martin di England. Beliau ke sana pada 1960 dan kembali ke tanah air pada 1966.

Sekembalinya dari luar negara, beliau bertugas sebagai guru di Temerloh, Pahang sebelum memilih Kuala Lumpur sebagai pusat kegiatannya.

Baru-baru ini, kami diberikan lawatan peribadi di Balai Seni Negara oleh Ameruddin Ahmed, kurator di bahagian perolehan dan pembaikpulihan Balai Seni Negara.

Untuk pengetahuan, Balai Seni Negara menyediakan guided tour kepada pelawat. Kamu akan mendapati kakitangan Balai Seni Negara berada di semua pintu masuk bilik pameran. Apa yang perlu dilakukan adalah memberitahu kepada mereka yang kamu memerlukan seorang “pemandu seni” dalam lawatan dan mereka dengan senang hati memenuhi saranan itu.

Khalil amat dikenali sebagai seorang pembatik selain pelukis yang ahli dalam media cat air, cat minyak dan cat arkrilik. Beliau juga mahir dalam penggunaan pen serta warna air.

Pantai Sabak adalah muse kepada pelukis ini dan ia menjadi tema yang sering diulang beliau dalam kebanyakan karyanya. Karya-karyanya sangat merakyat, malah beliau memilih untuk memaparkan suasana kampung dan mereka yang ada di dalamnya.

Ini menjadi tanda tanya mengapa Khalil tidak menjadi elitis setelah kembali dari luar negara dengan menumpukan dalam menghasilkan karya-karya abstrak semata-mata seperti rakan-rakan seangkatan beliau, antaranya Ibrahim Hussein dan Syed Ahmad Jamal.

Satu teori adalah kerana keluarganya berasal daripada Indonesia, maka — agaknya — kerana terbawa-bawa dengan sifat memperjuangkan marhaen yang sememangnya terkenal dalam kalangan seniman dari tanah seberang, maka beliau memilih untuk menghasilkan karya yang lebih “kampungan”.

Bagaimanapun, beliau ada menghasilkan beberapa karya abstrak.

Pameran Kepergian Khalil Ibrahim sedang berlangsung di Balai Seni Negara. Kami sarankan semua datang melihat karya-karya beliau yang bagi melihat dan menghargai karya seorang seniman yang benar-benar bekerja untuk seni. Karya beliau sedang melambung tinggi sebelum beliau meninggal dunia. Bak kata orang, — semestinya — setelah seniman itu meninggal dunia, harga karyanya melambung berlipat kali ganda. Sebelum ia dibeli oleh para kolektor dan disimpan dari mata orang ramai, elok kiranya kamu datang ke pameran tersebut.

Salam takziah buat ahli keluarga seniman Khalil Ibrahim. Semoga rohnya dicucuri rahmat.