Categories
NASIONAL

KPKT tubuh jawatankuasa khas bangun semula kawasan Highland Towers

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PUTRAJAYA, 26 JUN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan satu Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa khas itu bertujuan melaksanakan kajian bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.

“Jawatankuasa itu akn bertanggungjawab menyelidik semula pelan tindakan terhadap tanah di tapak Highland Towers.

“Tapak ini satu sebidang tanah premium di dalam bandar yang tidak harus dibiarkan terbengkalai begitu sahaja hampir 25 tahun dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Putrajaya di sini, hari ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata pihaknya berharap dapat membangunkan semula setelah hampir 25 tahun terbengkalai.

“Ketika saya di Parlimen Ampang pada 10 tahun lalu, saya cuba menyelesaikan dengan melihat apa yang tertunggak dan tidak terselesai di tapak tersebut dengan berjumpa beberapa egensi terlibat seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pejabat tanah.

“Namun perkara itu masih tergantung kerana terdapat beberapa maklumat diperlukan tidak dapat diperolehi kerana ketika itu kami tidak tahu siapa pihak yang bertanggungjawab.

“Sehubungan itu, menjadi hasrat saya setelah menggalas tanggungjawab sebagai menteri perumahan untuk membuka semula siasatan ke atas isu ini di peringkat Persekutuan supaya semua agensi berkait dapat memberi maklum balas dan bertanggungjawab,” katanya.

Selain itu, Zuraida berkata, jika perkara itu dapat diselesaikan, KPKT bercadang untuk membangunkan semula kawasan itu dengan membina kawasan perumahan atau rumah mampu milik untuk golongan B40 dengan mengutamakan aspek keselamatan.

Antara pihak yang akan bekerjasama dalam jawatankuasa khas tersebut termasuk Kementerian Kewangan, Kerajaan Selangor, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya.

Difahamkan, kawasan Highland Towers dibiar terbengkalai sejak 1993, dalam tragedi satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh yang meragut nyawa 48 orang.

=EZY=