Categories
NASIONAL

Kutipan tol Jajaran KL-Seremban, Salak Expressway tamat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 1 JUN: Pengguna Lebuhraya Salak Exspressway dan Jajaran Kuala Lumpur – Seremban Expressway kini boleh menarik nafas lega apabila kutipan tol di Plaza Tol Sungai Besi itu tamat serta merta bermula jam 12 pagi tadi.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md Salleh berkata, ia sekali gus memberi manfaat kepada hampir 130,000 pengguna kenderaan yang menggunakan plaza tol itu setiap hari.

“Jajaran ini dahulunya dikenali sebagai jajaran Lebuh Raya Metramac, dengan penamatan tempoh konsesi jajaran berkenaan, bayaran tol di semua laluan keluar dan masuk di Plaza Tol Sungai Besi juga dikurangkan di antara 50 peratus hingga 1 peratus iaitu antara 40 sen hingga RM1.70.

“Pengguna yang melalui Plaza Tol Sungai Besi kini hanya perlu membayar tol mengikut jajaran Lebuhraya PLUS yang dilalui mereka sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Ismail berkata, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan kadar kutipan tol yang baru menerusi laman web www.plus.com.my atau aplikasi PLUS Mobile App.

“Pengguna dinasihatkan supaya mematuhi peraturan perjalanan dan papan tanda arah yang disediakan bagi memastikan perjalanan lancar ke destinasi.

“LLM mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama pengguna lebuhraya,” katanya.

Sementara itu pengguna lebuhraya tersebut, Mohd Alwi Ghani, 60, berkata, pemansuhan tol tersebut dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian berikutan hampir setiap hari beliau menggunakan laluan tersebut untuk ke tempat kerja.

“Terima kasih kerajaan kerana prihatin dengan kami, ini ibarat hadiah hari raya buat kami,” katanya.