Categories
NASIONAL

Lagi MP Selangor bakal terajui kabinet Putrajaya?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 JUN : Digembar-gembur bakal menganggotai kabinet Putrajaya, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mengambil pendirian untuk tidak memberi kenyataan lanjut.

Bercakap kepada SelangorKini, Khalid berkata beliau menyerahkan sebarang keputusan lanjut kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pemilihan anggota kabinet dibuat berdasarkan keputusan Tun Dr Mahathir, dan adalah lebih baik sekiranya kita tidak mengulas mengenainya.

“Dalam situasi sekarang ini, banyak perkara boleh berlaku dan perubahan boleh terjadi pada bila-bila masa sahaja.

“Jadi saya serahkan semuanya kepada Perdana Menteri,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, enam Ahli Parlimen dari Selangor dipilih menerajui kabinet.

Mereka adalah, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Mohamad Sabu, Zuraida Kamarudin, Gobind Singh Deo dan Dr Dzulkefly Ahmad.

SelangorKini sebelum ini melaporkan, pemilihan itu dianggap satu penghormatan terbaik buat rakyat Selangor.

Sementara itu, sekiranya Khalid Samad menganggotai senarai jemaah kabinet baru, ia sekali gus bakal menyaksikan Ahli Parlimen Selangor adalah yang paling ramai dipilih menjadi menteri kabinet Malaysia kini.

Terdahulu, nama Khalid disebut bakal menyandang jawatan Menteri Wilayah Persekutuan bagi mengisi senarai kabinet kerajaan baharu.

Sinar Harian melaporkan, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok juga antara nama yang dicalonkan bagi jawatan itu.