Categories
NASIONAL

Laksana waktu kerja anjal untuk wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 JUN: Waktu bekerja anjal bagi wanita berkerjaya perlu dilaksanakan di negara ini, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia bagi mengoptimumkan peranan dan sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan, selain terus komited menyeimbangkan tanggungjawab sebagai isteri serta ibu.

“Kita perlu fikirkan bagaimana kaum ibu boleh sesuaikan diri dalam pasaran pekerjaan kerana kita mempunyai ramai wanita berpendidikan tinggi dan memperoleh pecapaian amat baik. Pada masa sama, mereka ada anak untuk dijaga serta disusukan.

“Jikakita tidak terokai peluang yang ada, ia menjadi satu kerugian kepada negara. Waktu anjal memang bukan mudah tetapi boleh diketengahkan untuk sesuatu yang lebih efisien,” katanya memetik laporan Bernama.

Dr Wan Azizah yang juga selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, pendekatan waktu bekerja anjal boleh dikaji secara lebih mendalam supaya kaedah itu diterima dengan baik dan terbuka dalam kalangan majikan.

“Kita tahu ada majikan yang asalkan tugasan jalan, ada atau tidak ada di pejabat, itu masih boleh diterima, namun ada majikan yang sedikit ‘cara lama’ apabila tiada di pejabat, nampak macam tidak buat kerja.

“Sebab itu, kita perlu kajian supaya waktu anjal ini dapat diterima. Majikan selalu fikir kalau buat kerja di rumah, nanti ponteng dan sebagainya, pemikiran sedemikian perlu ditukar bagi sesetengah bidang. Asalkan siapkan tugas, anda harus dapat bayarannya,” katanya.