Categories
SELANGOR

Laksanakan agenda Rumah SelangorKu untuk rakyat Malaysia

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 23 JUN: Kerajaan Negeri bersedia membantu Kerajaan Persekutuan melaksanakan dasar perumahan Rumah Mampu Milik, Rumah SelangorKu di peringkat Putrajaya.

Exco Tetap Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, keperluan itu selaras hasrat pentadbiran negeri memastikan rakyat berpendapatan sederhana mampu memiliki rumah sendiri.

“Selepas melihat keberkesanan dasar ini di Selangor, kita dimaklumkan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) cukup berminat untuk mengaplikasikan pelaksanaan dasar ini di Putrajaya.

“Ini satu perkembangan positif dan kita bersedia ke arah itu dengan merujuk sumbangan dasar ini kepada rakyat Selangor secara amnya.

“Di peringkat Kerajaan Negeri, tentunya dasar ini akan diteruskan dengan kadar jualan serendah RM42,000 itu dikekalkan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau bercakap selepas hadir mengadakan program turun padang penyerahan bantuan kepada penduduk perumahan Kampung Dato’ Mufti Shuib Ampang, yang terjejas akibat hujan lebat.

Terdahulu, KPKT mempertimbang untuk melaksanakan dasar perumahan rumah mampu milik Rumah SelangorKu, di seluruh negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan dasar itu sedang dikaji bagi menilai sebarang bentuk keperluan ke arah pembaikan dasar perumahan baru negara.

Beliau mengakui, dasar Rumah SelangorKu boleh dilaksanakan secara efektif mengikut kesesuaian dasar perumahan sedia ada di Putrajaya.

“Kementerian bercadang untuk melaksanakan satu skim baru di peringkat Persekutuan dengan mengambil kira keberkesanan program perumahan di negeri lain seperti Rumah SelangorKu.

“Dasar ini akan dikaji bagi menilai keberkesanan model perumahan dasar itu sebelum ia boleh digunapakai di peringkat Persekutuan,” kata Zuraida.

=EZY=