Categories
SELANGOR

Maklum polis jika pulang ke kampung, jamin keselamatan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 JUN: Orang ramai yang ingin pulang ke kampung disaran memaklumkan di mana-mana balai polis terdekat berhubung tempoh ketiadaan dirumah bagi menjamin keselamatan rumah.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, perkara itu bagi memudahkan pihaknya membuat rondaan bagi meningkatkan keselamatan serta pencegahan jenayah.

“Ia akan memudahkan kami membuat pemantauan dan lawatan jika berlaku sebarang kecurigaan di rumah terbabit.

“Penduduk hanya perlu tampil dan mengisi borang dan berikan maklumat ringkas seperti tarikh ketiadaan di rumah, nama pemilik rumah dan orang yang boleh dihubungi sekiranya berlaku kecemasan di mana-mana balai polis di daerah ini,” katanya selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat peringkat IPD Shah Alam, hari ini.

Baharudin berkata, penduduk juga boleh menggunakan aplikasi WhatsApp dengan menghantar pesanan ringkas kepada Ketua Balai Seksyen 9, Asisten Superintendan Zaiful Nizan Mohamad 0146642656, Ketua Polis Balai Sri Muda, Asisten Superintendan Norzamri Shamsuri 013-3212220, Ketua Balai Polis Bukit Jelutung, Asisten Superintendan Muhammat Sharif Siran 019-2730877 atau Ketua Balai Polis Seksyen 6, Inspektor Bohari Ehsan 0192201551.

Selain itu, pilihan terakhir, adalah dengan mengisi borang tersebut menggunakan ‘smart phone’ melalui aplikasi volunteer smartphone patrol (VSP) yang boleh dimuat naik melalui app store dan play store.

=EZY=