Categories
NASIONAL

Maklumat pelajar terdedah, SAPS ditutup sementara

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 11 JUN: Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara berikutan dakwaan pendedahan maklumat peribadi lebih 10 juta rakyat negara ini.

Menteri Pendidikan, Dr Maszle Malik berkata, pihaknya memohon maaf atas perkara tersebut dan kini sedang menyiasat dakwaan itu secara teliti.

“Bagi pihak kementerian, saya memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Sebagai langkah keselamatan, saya mengarahkan sistem ini ditutup buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kementerian menjalankan analisis keselamatan secara mendalam bagi mengenal pasti kelemahan dan mengambil tindakan segera selepas menemui jalan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan.

SAPS merupakan sistem pembuat analisis peperiksaan sekolah bagi memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan anak-anak mereka.

Maszlee berkata, laman web dan aplikasi lain berkaitan Kementerian Pendidikan bagaimanapun tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

“Saya percaya pandangan rakyat penting dalam semua hal berkaitan kementerian, kami memerlukan input berterusan semua pihak supaya dapat bersama-sama melakukan perubahan yang perlu dalam kementerian,” katanya.