Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

Malaysia – UK tingkat kerjasama dua hala pendidikan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 JUN: Malaysia dan United Kingdom (UK) berhasrat untuk meluaskan lagi jaringan kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, pihaknya mahu penguatkuasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan tenaga pengajar bagi sektor kemahiran diperluaskan lagi di negara ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi UK ke Malaysia, Her Excellency Vicki Treadel di pejabatnya semalam.

“Kita akan memberi tumpuan dalam menyediakan latihan bahasa Inggeris kepada tenaga pengajar Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kementerian juga berusaha untuk menambah peluang, memperbaiki kekurangan dan mengukuhkan kerjasama pintar antara kedua negara untuk dimanfaatkan tenaga pengajar dan pelajar juga rakyat,” katanya.

Dalam kunjungan itu juga, mereka turut membincangkan bilateral antara kedua negara dalam bidang pendidikan agar kekal berpanjangan.

Katanya lagi, sehingga kini, dianggarkan lebih 18,000 pelajar Malaysia sedang menyambung pengajian dalam pelbagai bidang termasuk di peringkat Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di negara berkenaan.

=EZY=