Categories
SELANGOR

Manfaat cuti Aidilfitri dengan keluarga

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 JUN: Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud menasihatkan orang ramai memanfaatkan cuti Aidilfitri bersama keluarga sepenuhnya.

Katanya, hal itu kerana institusi kekeluargaan adalah landasan terbaik mencorakkan kehidupan, terutama generasi muda, pada masa kini.

“Saya percaya hubungan kekeluargaan sempurna dibentuk oleh ibu bapa yang menjalankan tanggungjawab dengan baik, mereka mencorakkan masa hadapan anak melalui pembinaan sahsiah cemerlang,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau juga Ahli Dewan Negeri Seri Serdang turut bersyukur apabila Pakatan Harapan (PAKATAN) berjaya memperoleh kemenangan berganda dengan mempertahankan Selangor dan dianugerahkan kemenangan besar, iaitu membina kerajaan baru.

“Kita perlu menginsafi Malaysia adalah negara yang cukup istimewa dan unik. Walaupun berlainan kepercayaan, kebudayaan dan keturunan, kita mampu hidup aman juga sejahtera.

“Justeru, marilah kita meraikan kepelbagaian ini kerana saya amat yakin ia akan menjadi pemangkin yang tidak ternilai harganya dalam membina bangsa Malaysia bertamadun dan berkepedulian tinggi,” katanya.