Categories
NASIONAL

Masjid Bandaraya Kota Kinabalu ditutup sementara

OLEH HAZIQ ISMAIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Masjid Bandaraya Kota Kinabalu (MBR) yang menjadi lokasi pelancongan ditutup kepada semua pelancong asing, berkuat kuasa serta merta hari ini.

Larangan itu dikeluarkan selepas sebuah video tular di media sosial berkenaan dua wanita berpakaian seksi dipercayai pelancong asing menari di atas pagar tembok masjid, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Jamal Tun Sakaran berkata, ekoran kejadian itu, MBR membuat keputusan untuk tidak membenarkan mana-mana kenderaan memasuki kawasan masjid kecuali teksi yang berdaftar dengan MBR.

“Pihak pengurusan MBR berasa kesal dengan kelakuan segelintir pelancong walaupun sudah diberikan penerangan perilaku dan tertib di sekitar masjid,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, MBR membuka peluang kepada pelancong untuk mengunjungi masjid itu dengan anggaran 500 hingga 1000 orang untuk melawat masjid itu, setiap hari.

“Pihak kami melaksanakan pelbagai usaha menyampaikan mesej keindahan Islam kepada pelancong yang berkunjung, namun masih ada yang bertindak di luar jangkaan.

“Usaha ini termasuk menyediakan pemandu pelancong, jubah baju kurung, tudung dan kopiah,” katanya.

Jamal berkata, bagi menjaga imej dan kesucian Islam masjid itu, MBR akan mengadakan perbincangan lanjut bersama agensi berkaitan pelancongan bagi mencari jalan terbaik untuk memberi manfaat kepada semua.