Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Perubahan kecil portfolio Exco Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Perbincangan lanjut perubahan kecil potfolio Exco Kerajaan Negeri akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, perubahan dibuat selepas mengambil kira beberapa perbezaan faktor semasa ketika ini.

“Saya perlu mengadakan perbincangan bersama Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri).

“Kemungkinan ada perubahan portfolio berdasarkan faktor semasa. Tapi ia melibatkan beberapa perubahan kecil sahaja,” katanya pada sidang media di Pejabat Dato’ Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pagi ini.

Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini dianggotai 10 barisan Exco.

Salah seorang daripadanya turut dianggotai Amirudin selaku Exco Pemberdayaan, Generasi Muda dan Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri.

Jawatan itu kini digantikan, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail yang menerima surat cara lantikan daripada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Amirudin turut mengulas isu kedudukan Pengerusi Pakatan Harapan (PAKATAN) Negeri yang kini diterajui bekas Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau menyerahkan keputusan itu kepada pucuk pimpinan tertinggi PAKATAN untuk membuat sebarang ketetapan.

“Mohamed Azmin terbukti sudah menujukkan prestasi terbaik dalam pilihan raya lalu yang membawa kemenangan besar kepada PAKATAN.

“Saya tidak mempunyai sebarang halangan untuk bekerja bersama beliau di bawah PAKATAN Selangor,” katanya.