Categories
NASIONAL

Mekanisma kekal harga barang keperluan akan diperkenal

PUTRAJAYA 16 JUN: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mewujudkan satu mekanisma untuk mengekalkan harga barang keperluan dan menguruskan keseimbangan antara penawaran dengan permintaan dengan sistematik.

Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, mekanisma tersebut akan memastikan bekalan adalah mencukupi dan harga barangan adalah mampu milik dalam kalangan rakyat dan mewujudkan persaingan dalam barang keperluan.

“Ia dapat memastikan harga barang keperluan kekal munasabah dan mampu dimiliki dalam kalangan rakyat selepas cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berkuat kuasa pada September depan,” katanya kepada media pada majlis rumah terbuka Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, semalam.

Selain itu, Salahuddin berkata, harga barang keperluan menjelang Hari Raya telah menurun berbanding tahun lepas.

“Contohnya, harga ayam turun kepada RM5 hingga RM6 (satu kg) berbanding dengan lebih kurang RM7 tahun lepas manakala sayur-sayuran yang ada juga harganya turun sebanyak 50 peratus berbanding dengan harga tahun lepas.

SUMBER: BERNAMA