Categories
SELANGOR

Menteri Pertahanan diterima mengadap Sultan Selangor

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga Kepten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkenan menerima mengadap Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, di Istana Bukit Kayangan, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pertemuan berlangsung hampir sejam itu membincangkan pelbagai isu khususnya membabitkan keselamatan perairan negara.

“TLDM perlu diperhebat dan diperkuatkan terutama jika dulu hasil negara di darat sahaja tetapi sekarang di darat juga laut seperti pelantar minyak kita, di Laut China Selatan. Sebahagian Laut China Selatan ini juga menjadi perebutan kuasa besar.

“Oleh itu, Malaysia perlu memainkan peranan bersiap siaga, bukan untuk berperang tetapi menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air kita termasuk perairan negara kerana mempunyai perairan yang luas,” katanya kepada pemberita sejurus selesai mengadap.

Mohamad berkata, baginda turut menasihatkan supaya aset TLDM dipertingkatkan sesuai dengan perkembangan semasa.

Katanya, baginda bertitah supaya setiap pembelian aset pertahanan perlu sesuai dengan keperluan TLDM dalam mempertahankan kedaulatan perairan negara.