Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Mohamed Azmin sebak, tugas selaku Dato’ MB Selangor tamat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 18 JUN: Tugas Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selaku Dato’ Menteri Besar Selangor secara rasminya tamat apabila beliau selesai sahaja melakukan ‘punch card’ tepat jam 4.31 petang di sini, hari ini.

Beliau melakukan ‘punch card’ itu di Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, Tingkat 21,Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Ia turut disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman.

Selesai sahaja beliau melakukan ‘punch card’, Mohamed Azmin kemudian turun ke Foyer SUK dan menyampaikan sedikit ucapan perpisahan.

Dalam ucapannya, Mohamed Azmin berkata, selesai sudah tugasnya selaku Dato’ Menteri Besar Selangor yang ke-15 dan beliau berterima kasih kepada seluruh rakyat terutamanya yang sentiasa memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada beliau.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin tidak mampu menahan sebak di saat memberikan ucapan terakhir selaku Menteri Besar Selangor itu.

Beliau berkata, perpisahan itu merupakan detik yang amat sukar buat dirinya sepanjang memimpin pentadbiran negeri itu.

“Sekali lagi ini pertemuan yang amat sukar bagi saya, namun di kesempatan yang ringkas ini saya ingin memaklumkan sebentar tadi saya telah mengetip kad perakam untuk kali terakhir di bangunan ini.

“Dan dengan itu sudah sampai masanya saya tinggalkan semua di sini,” katanya dalam nada sebak.

Justeru, Mohamed Azmin yang kini sudah memegang jawatan selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, beliau tidak akan sesekali melupakan Selangor malah akan terus bekerjasama dengan penggantinya dalam aspek hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Manakala, Mohamed Azmin berkata, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga sudah berkenan untuk menjalankan istiadat angkat sumpah jawatan dan lantikan Dato’ Menteri Besar Selangor baharu itu pada jam 9.30 pagi esok di Istana Alam Shah, Klang.

Terdahulu, Mohamed Azmin sudah mengangkat sumpah sekali lagi sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor namun terpaksa melepaskan jawatan berkenaan selepas dinamakan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed.