Categories
SELANGOR

MPAJ komited pulih 3 hotspot denggi

OLEH AFIX REDZUAN

AMPANG JAYA, 29 JUN: Sebanyak 1,051 kes denggi direkodkan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sehingga 18 Jun 2018 dengan satu kematian.

Yang Dipertuanya, Abd Hamid Hussain berkata, MPAJ mengenalpasti tiga kawasan tumpuan (hotspot) iaitu Taman Mega Jaya, Taman Dagang dan Kampung Pandan.

“Taman Mega Jaya melibatkan Pangsapuri Mega Indah melibatkan lapan kes dengan tempoh wabak selama 52 hari dan jangka wabak tamat pada 25 Jun.

“Lokaliti Taman Dagang melibatkan Jalan Dagang 1/1 hinga 1/11 mencatatkan enam kes dengan tempoh wabak selama 31 hari dan jangka wabak tamat pada 22 Jun.

“Sementara Lorong B1 hingga B9, Kampung Pandan pula mencatatkan tujuh kes dalam tempoh wabak selama 45 hari dan jangka tamat wabak pada 27 Jun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MPAJ Bil 6/2018 yang Bangunan Ibu Pejabat MPAJ, hari ini.

Menurutnya, antara tindakan kawalan dilakukan adalah pemusnahan tempat pembiakan, menganjurkan Program Lorong Belakang Bersih Bebas Aedes (LOBBA) dan pendekatan ekosistem.

Turut dilakukan adalah menjalankan aktiviti promosi dan pendidikan di sekolah-sekolah, taklimat kepada warga asing, operasi Zero Larva (OZEL) serta penggunaan Outdoor Residual Spray (ORS).