Categories
PBT SELANGOR

MPSJ laksana pengurusan lalu lintas, atasi kesesakan

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 5 JUN: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan melaksanakan pengurusan baharu di persimpangan Lebuhraya Shah Alam dengan Persiaran Kewajipan, di sini, mulai jam 12 pagi, 9 Jun ini.

Dalam kenyataannya, jurucakap MPSJ berkata, tindakan pelaksanaan itu dijalankan dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kesas Sdn Bhd (KESAS).

“Ia adalah usaha dijalankan MPSJ dalam tempoh dua bulan bagi menangani dan mengurangkan kesesakan lalu lintas pada waktu puncak di persimpangan berkenaan.

“Papan tanda lalu lintas, notis pemberitahuan dan ‘concrete barrier’ akan dipasang di lokasi berkaitan untuk melancarkan aliran lalu lintas serta mambantu pengguna jalan raya mengikut sistem penguruan lalu lintas ini,” katanya.

Katanya, pelaksanaan itu membabitkan penutupan satu lorong (lorong perlahan) di Persiaran Kewajipan (di atas jambatan Persiaran Kewajipan / Lebuhraya Shah Alam) arah Subang Jaya dan penutupan pusingan ke kanan (di jambatan Persiaran Kewajipan / Lebuhraya Shah alam) arah Kuala Lumpur sahaja.

“Ia juga termasuk penutupan ‘U-Turn’ di persimpangan berlampu isyarat Persiaran Kewajipan dengan Persiaran Murni.

“Seperti mana-mana pelaksanaan pengurusan lalu lintas baharu, MPSJ yakin satu jangka masa diperlukan untuk membiasakan pengguna lebuh raya dan penduduk setempat dengan pelaksanaannya maka segala kerjasama amat dihargai,” katanya.