Categories
NASIONAL

Naik taraf segera 40 peratus aset TUDM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Hampir 40 peratus aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) perlu dinaik taraf segera kerana sudah mencapai usia 20 tahun.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, perancangan teliti perlu dilakukan sebelum pembelian sebarang aset dilakukan dengan mengambilkira kedudukan kewangan dan kemampuan penyelenggaraan.

Hal itu kerana, setiap aset TUDM perlu berada pada tahap terbaik termasuk prestasi juruterbang yang mempunyai jam latihan mencukupi.

“Aset yang ada kebanyakannya sudah menjangkau usia lebih 20 tahun dan keperluan menaiktaraf adalah tinggi. Jika tidak dinaik taraf, maka ia akan meningkatkan kos penyelenggaraan.

“Kita perlu menaiktaraf supaya pesawat dapat beroperasi dengan baik dan mengurangkan kos penyelenggaraan. Jika mahu melakukan pembelian aset baru, maka kita perlu lihat tempoh jangka panjang.

“Tak guna membeli satu aset yang berkeupayaan tinggi tetapi tidak mampu menyelenggara secara efektif. Kita perlu berhati-hati melakukan perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wawancara Khas Panglima Tentera Udara Bersama Media Sempena Hari TUDM Ke-60 di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, pada 30 Mei lalu.

Beliau berkata, TUDM sebelum ini menangguhkan beberapa perancangan berhubung aset ketenteraan kerana kekangan belanjawan kerajaan dan menunggu kelulusan.

Ia termasuk pembelian empat pesawat rondaan maritim (MPA), pencarian pesawat tempur berbilang peranan baru (MRCA) dan rancangan masa depan untuk pesawat tempur MiG-29 Rusia.

Selain itu, katanya, TUDM kini dalam proses menaiktaraf radar pertahanan dan radar kawalan udara.