Categories
SUKANKINI

Nazliazmi: Selangor waspada, guna kelebihan ke final

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA LUMPUR, 24 JUN: Ketua jurulatih, Nazliazmi Mohd Nasir berharap Selangor tidak hilang fokus dan akan terus meningkatkan permainan menentang PKNS FC pada separuh akhir kedua Piala FA, Sabtu depan.

Selepas memperoleh kemenangan selesa 4 – 0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam dan dianggap selangkah ke perlawanan akhir tetapi beliau tidak memandang mudah cabaran PKNS FC dan menjangka satu perlawanan sengit bakal dihadapi The Red Giants di Stadium Shah Alam nanti.

“Berdepan PKNS FC yang dibarisi sebahagian pemain kebangsaan dan import berkualiti, persembahan ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini mereka berhak untuk memenanginya dengan empat gol diperoleh sebagai modal untuk perlawanan seterusnya.

“Bagaimanapun saya menjangka separuh akhir kedua di Shah Alam akan lebih sengit dengan kedua pasukan memerlukan kemenangan dan Selangor perlu bijak mengekalkan kelebihan dimiliki,” katanya kepada media selepas perlawanan antara Selangor dan PKNS FC di sini, semalam.

Dalam perlawanan itu, Selangor mengalahkan PKNS FC 4 – 0 hasil jaringan hatrik penyerang import, Rufino Segovia Del Burgo dan satu gol sendiri pertahanan lawan, Azmizi Azmi.

Dengan kemenangan itu, beliau berkata, The Red Giants diharap terus berusaha mengekalkan momentum kerana ia peluang terbaik pasukan itu layak ke perlawanan akhir yang kali terakhir dilakukan pada 2009.

“Selangor berdepan tugas mencabar kerana menghadapi jadual perlawanan agak padat dan kita juga perlu fokus kepada perlawanan Liga Super serta tidak boleh membiarkan mata tercicir.

“Kita akan fokus dan membuat beberapa perubahan bertemu Pahang, Selasa ini,” katanya.

Selepas 15 perlawanan liga, Selangor kini di tangga kelapan dengan 19 mata hasil lima kemenangan, empat seri dan enam kalah.

=EZY=