Categories
SELANGOR

Pastikan premis makanan Gred A,B, baru boleh makan – MPSJ

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 29 JUN: Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan gred sesebuah premis makanan berada pada Gred A atau B sebelum menjamu selera.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mohd Zulkarnain Che Ali berkata, hanya premis bergred itu berada dalam keadaan bersih hasil pemeriksaan dan pemantauan ketat pihaknya saban tahun.

“Orang ramai boleh rujuk gred ini di setiap premis sebelum makan.

“MPSJ tidak teragak-agak menutup premis makanan yang mempunyai lipas selama dua minggu, serta terpaksa menjalankan kerja pembersihan sebelum dibenarkan beroperasi semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika operasi pemeriksaan ke atas 206 premis makanan di sekitar SS15 bersama anggota penguatkuasa MPSJ.

Untuk rekod, Gred A diklasifikasikan pada tahap terbaik iaitu anggaran markah penilaian dari 90 hingga 100, sementara Gred B ialah dari 80 hingga 90.

Mohd Zulkarnain berkata, MPSJ melakukan pemeriksaan berkala ke atas 2,800 premis makanan termasuk kantin sekolah.

Katanya, sehingga kini 1,400 premis sudah diperiksa sepenuhnya.

“Kami mahu tempat memasak juga bersih sama seperti tempat penyediaan makanan di bahagian hadapan.

“Operasi ini akan dijalankan secara mengejut pada bila-bila masa,” katanya.