Categories
GLOBAL SUKANKINI

Pegawai FAM ke Piala Dunia, galas tanggungjawab demi negara

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 6 JUN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan dua Ahli Jawatankuasa Eksekutifnya, Subkhiddin Mohd Salleh dan Christopher Raj terpilih menjalankan tugas di temasya bola sepak Piala Dunia 2018 di Moscow, Rusia, mulai 14 Jun hingga 15 Julai ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pelantikan dibuat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah satu penghargaan dan berharap mereka berdua dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik demi FAM dan negara.

“Saya mewakili FAM mengucapkan selamat bertugas kepada Subkhiddin dan Christopher yang dilantik FIFA untuk bertugas pada Piala Dunia FIFA – Russia 2018.

“FAM berasa bangga dengan pelantikan ini dan berharap mereka dapat menjalankan tugas dengan baik di sana sekali gus mengharumkan nama Malaysia dan FAM. Selamat maju jaya,” katanya dalam kenyataan.

Subkhiddin selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM bertugas sebagai Instruktur Teknikal Pengadil di Moscow, Russia bermula 31 Mei lalu hingga 17 Julai depan dengan skop tugasannya merancang persiapan pengadil dari aspek teknikal, menganalisis prestasi pengadil, memberi penjelasan teknikal kepada pemain dan pegawai pasukan bertanding serta memberi maklumbalas mengenai prestasi pengadil sepanjang kejohanan.

Manakala Christopher pula Pengerusi Jawatankuasa Media dan Perhubungan Awam FAM, akan bertugas dari 6 Jun hingga 10 Julai depan sebagai Pegawai Media untuk venue perlawanan di Stadium Spartak, Moscow dengan berperanan memastikan operasi media di venue berkenaan berjalan lancar termasuk urusan pengendalian sidang media, fasiliti dan keperluan media lain.

=EZY=