Categories
SELANGOR

Pelita Panjut, pupuk budaya tradisi Aidilfitri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 15 JUN: Inisiatif menyemarakkan budaya dan tradisi masyarakat Melayu pada malam perayaan Aidilfitri dilaksanakan menerusi penganjuran Program Pelita Panjut Aidilfitri.

Exco Pemberdayaan Generasi Muda & Sukan, Pembangunan Usahawan, Pembangunan Desa Dan Kampung Tradisi, Amirudin Shari berkata, generasi muda disaran supaya tidak melupakan tradisi ‘pasang pelita’ dalam menyambut kemeriahan Syawal.

“Tradisi ini semakin dilupakan generasi muda. Justeru, atas dasar kesedaran itu di bawah standco generasi muda, menuntut penganjuran program ini dilaksanakan agar golongan muda dapat melihat kemeriahan Syawal dari transisi budaya lama.

“Program ini melibatkan beberapa buah kampung di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Tua yang mana setiap kampung terlibat akan memasang pelita mengikut kreativiti di kawasan perkampungan dan mereka akan dinilai menerusi beberapa kriteria.

“Bagaimanapun, mungkin kerana penganjuran program ini julung kali diadakan, masih terdapat beberapa keperluan asas agar lebih banyak penglibatan kampung lain dalam program ini pada masa akan datang,” katanya kepada SelangorKini.

Sebelumnya, Amirudin turun padang melihat sendiri perkembangan program berkenaan yang menyaksikan lapan buah kampung mempamerkan tradisi pemasangan pelita di persekitaran kampung.

Kampung-kampung terlibat adalah, Kampung Sungai Tua, Kampung Nakhoda, Kampung Sungai Kertas dan Kampung Wira Damai.

Beliau turut mengadakan lawatan di Kampung Laksamana, Kampung Selayang Baru, Kampung Baru Batu Caves dan Kampung Melayu Batu Caves.

Sementara itu, keputusan kampung terbaik program berkenaan akan diumumkan pada Majlis Rumah Terbuka Kerajaan Selangor, 24 Jum depan.

Difahamkan, pemenang akan diberi penghargaan dan hadiah kemenangan berjumlah RM1,000 oleh Kerajaan Negeri Selangor.