Categories
NASIONAL

Penerbangan pertama haji bermula 14 Julai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 22 JUN: Penerbangan pertama jemaah haji tahun ini dijadual berlepas pada 14 Julai, sementara penerbangan terakhir pada 14 Ogos ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata,  ia membabitkan lapan lapangan terbang utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

“Sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan 41 pesawat Flynas.

“Penerbangan balik bermula 29 Ogos sehingga 25 September ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH merangkap Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Johan berkata, kuota haji bagi tahun ini masih kekal seperti tahun lalu iaitu 30,200 jemaah.

Selain itu, katanya buat pertama kalinya bagi tahun ini, jemaah haji dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya akan berlepas dari Kompleks TH Sepang yang sebelum ini dilakukan dari Kompleks TH Kelana Jaya.