Categories
SELANGOR

Peniaga pertahan tindakan anggota penguatkuasa MPK

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 10 JUN: Peniaga Bazar Aidilfitri Jalan Taiping, Nazra Fatima mempertahankan tindakan Anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam video pergaduhan bersama peniaga air yang tular di media sosial sejak semalam.

Dalam kejadian kira-kita 9.40 malam itu, Nazra berkata suspek memulakan pergaduhan dengan bertindak menumbuk penguatkuasa terbabit terlebih dahulu.

Katanya, kedua-dua peniaga yang ditahan itu bertindak degil dan masih berniaga walaupun diberi amaran beberapa kali sejak awal Ramadan lalu.

“Siapa yang tidak sakit hati, peniaga lain bayar sewa tapak. Lagipun mereka ini banyak kali diberi amaran tapi masih berdegil.

“Dalam video tidak memperlihatkan suspek yang bertindak menumbuk penguatkuasa dulu, hakikatnya suspek yang mulakan dulu,” katanya.

Sementara itu, MPK memaklumkan pihaknya akan mengadakan sidang media esok bagi memberi penjelasan mengenai kejadian terbabit.

Terdahulu, satu klip video memaparkan pergaduhan antara penguatkuasa MPK bersama peniaga di Jalan Taiping mula tersebar di media sosial, sejak semalam.

Klip video berdurasi selama 0:46 saat itu menyaksikan suasana tegang antara anggota MPK bersama peniaga berkenaan sehingga berlakunya pergaduhan serta aksi berbalas tumbukan antara satu sama lain.

Polis melaporkan punca kejadian dipercayai berlaku apabila penguatkuasa MPK dikatakan menegur peniaga terbabit yang beroperasi tanpa lesen di kawasan berkenaan.

Peniaga terbabit juga dipercayai menumpang lesen pihak lain dan keadaan itu menyebabkan penguatkuasa MPK terlibat berkeras untuk mengambil tindakan sehingga mencetuskan perang mulut serta aksi berbalas tumbukan. .