Categories
SELANGOR

Perangsang Selangor terima anugerah AREA 2018

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 14 JUN: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (Perangsang Selangor) dipilih sebagai penerima Anugerah Perniagaan Bertanggungjawab Asia (AREA) 2018 di bawah kategori promosi kesihatan, baru-baru ini.

Majlis penyampaian anugerah diadakan di Manila, Filipina, anjuran Enterprise Asia, persatuan bukan kerajaan untuk keusahawanan.

Perangsang Selangor antara 51 program sosial korporat yang dipilih daripada 200 penyertaan dikemukakan pemimpin di 14 negara di seluruh Asia.

Ketua Pegawai Operasi Perangsang Selangor, Suzila Khairuddin berkata, pihaknya gembira dipilih sebagai penerima anugerah Area pada tahun ini.

“Anugerah ini merupakan pencapaian kelima di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami, dimana dua daripadanya di bawah program pemberdayaan dan penglibatan , manakala tiga lagi untuk program ‘Sukan untuk Semua’.

“Baru-baru ini kita turut dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juri dan disenaraikan sebagai antara 10 terbaik bagi kategori Inisiatif CSR Sukan Terbaik oleh Anugerah Industri Sukan Asia 2017,” katanya dalam kenyataan.

 

Katanya, misi ‘Sukan untuk Semua’ adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan dalam kalangan golongan kurang bernasib baik, kurang upaya dan luar bandar di Selangor dengan menyediakan pengetahuan dan peluang untuk terlibat dalam sukan, serta menghasilkan potensi juara.

“Tahun lepas, lebih 10,000 peserta terlibat dalam program itu dengan 90 acara yang dilaksanakan di seluruh negeri,” kata Suzila.

Difahamkan, AREA 2018 telah dianugerahkan untuk mengiktiraf perniagaan Asia di atas usaha amalan perniagaan yang mampan, menunjukkan kepimpinan syarikat, menggabungkan nilai etika, pematuhan, pelaburan dalam pihak berkepentingan, penglibatan dalam masyarakat serta
perlindungan alam sekitar.