Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Perkasa ramal bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUN: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) disaran meningkatkan keupayaan meramal bencana baru yang mungkin dihadapi negara bagi membuat persediaan sebarang kemungkinan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, fenomena perubahan iklim yang berlaku ketika ini harus diteliti dengan mendalam.

“Kita mungkin akan menghadapi bencana baru seperti kemarau panjang dan taufan.

“Walaupun masalah ini jarang berlaku di negara kita tapi harus meneliti dari sekarang berhubung persediaan yang diperlukan.

“Kita perlu melakukan perancangan senario untuk menghadapi kemungkinan di luar jangkaan, pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media, di sini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah mengadakan mesyuarat dengan Ketua Pengarah NADMA, Datuk Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dan diberikan taklimat berhubung agensi terbabit.

NADMA bertanggungjawab menyelaras pengurusan bencana negara dan bertanggungjawab untuk membentuk serta memastikan segala dasar juga mekanisme pengurusannya dipatuhi juga dilaksanakan, di setiap peringkat.