Categories
BERITA UTAMA KENYATAAN MEDIA SELANGOR

Perutusan Dato’ Menteri Besar sempena EIDUL FITR 1439H

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illallahu Wallahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd.

Syukur ke hadrat Allah SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad SAW di atas kemenangan kita menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al-Kareem.

Ternyata perjuangan mengawal nafsu melalui proses penyucian diri –tazkiyatun nafs berjaya membentuk semula keperibadian yang diharap kekal berpanjangan.

Alhamdulillah, 1 Syawal yang disambut dan diraikan kali ini juga dilihat lebih bermakna.

Malaysia Baharu yang lahir daripada aspirasi dan sanubari rakyat sejak sebulan lalu bukan sahaja berjaya mewujudkan suasana lebih harmoni malah turut menyaksikan rakyat berbilang kaum mula memperkukuhkan penyatuan dengan menolak sentimen membabitkan ras atau agama.

Malaysia yang dicintai kini menuju fasa pemulihan selepas lebih 60 tahun ditadbir oleh pemerintahan terdahulu.

Sebagai individu bertanggungjawab mengemudi hal ehwal ekonomi negara, saya insaf untuk memastikan rakyat terus terbela.

Pelbagai usaha akan terus digembleng termasuk mencipta persekitaran ekonomi mesra pelabur, menjana peluang pekerjaan dan meningkat pelaburan asing tanpa mengorbankan prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban.

Usaha ini bagaimanapun tidak akan berhasil tanpa berpaksikan kepada konsep keadilan sosial. Ia perlu disulami sifat-sifat mulia yakni amanah, siddiq, tabligh dan fatanah.

Saya yakin, hanya sifat-sifat terpuji dan jiwa yang merdeka mampu mengangkat semula martabat sesebuah negara.

Peribahasa Inggeris ada menyebut, “Every man is the architect of his own fortune?”.

Ini membuktikan hanya kita sahaja mampu menentukan masa depan dengan hasil usaha dan jerih perih sendiri. Maka, tiada lagi alasan untuk kita berpeluk tubuh mengharapkan sebuah kejayaan tanpa perlu bekerja keras.

Keterujaan saya menjalankan tanggungjawab di peringkat Persekutuan tidak melunturkan ingatan ini kepada negeri Selangor yang dikasihi.

Saya mendoakan Selangor terus cemerlang, harmoni dan berdaya maju dengan terus memperkasakan prinsip peduli rakyat.

Justeru, percayalah, Selangor senantiasa di hati dan sanubari saya.

Akhirul kalam, saya bersama isteri dan anak-anak ingin mengucapkan Salam Eidul Fitr kepada seluruh umat Islam.

Semoga lembaran Syawal kali ini akan mendekatkan kita dengan semangat perpaduan atas kesatuan iman.

Moga ukhwah yang terbentuk terus tersimpul rapi atas jalinan persaudaraan sesama insan.

Minal ‘aidin wal faidzin.
Maaf Zahir dan Batin.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Dato’ Menteri Besar Selangor