Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Hari Raya Aidilfitri – Amirudin Shari

‘Eid fitr, mengingatkan kita untuk kembali kepada fitrah yang suci sebagai manusia yang berada di alam yang fana ini sebagai hamba Allah. Ramadhan telah memberikan peluang untuk kita muhasabah dan mempupuk kekuatan untuk kita memiliki _hablu min Allah_ (hubungan dengan Allah) dan _hablu mina an-nas_ (hubungan dengan manusia).

Setelah sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, juga dipenuhi dengan ibadah di malam hari maka tibalah satu Syawal yang menjadi hari untuk kita mengungkapkan rasa syukur dan puji-pujian kepada Allah S.W.T.

Kegembiraan pada syawal kali ini juga lebih besar untuk rakyat Malaysia kerana kejayaan di dalam Pilihan Raya Umum 14 baru-baru ini untuk menumbangkan pemerintahan yang zalim buat pertama kalinya selepas Merdeka.

Kesatuan hati dan kesatuan amal yang dimiliki oleh majoriti masyarakat Malaysia itu adalah satu petanda yang baik bahawa kita mahukan perubahan yang lebih baik untuk tanah air tercinta kita, Malaysia ini.

Di sini juga, saya bersama isteri dan keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan mohon maaf zahir dan batin kepada seluruh umat Islam di negara ini khususnya di Negeri Selangor Darul Ehsan dan DUN Sungai Tua.

Semoga Allah memberkati negeri kita dan tanah air kita ini dan memberikan kekuatan untuk kita bersama berganding bahu melakukan perubahan yang kita inginkan.

_Taqabalallahu minna wa minkum, shiyama wa shiyamakum, wa ja’alana Allahu minal ‘aidin wal faizin_
“Semoga Allah menerima amalan dan puasa kita, dan menjadikan kita orang yang kembali (kepada fitrah) dan orang-orang yang berjaya”

Y.B Amirudin Shari @ Shah Alam, Malaysia